4 lelaki curi kerbau dengan MPV

TASEK GELUGOR: Tindakan empat lelaki melarikan seekor kerbau dengan menyumbat haiwan itu dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diubah suai gagal selepas kegiatan mereka dihidu penduduk kampung di Sungai Kulim dekat Labuh Banting, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, suspek yang berpura-pura memancing di sungai berhampiran bertindak menyumpit kerbau berkenaan bagi melalikannya sebelum menyumbat haiwan itu ke dalam MPV yang dibawa mereka.

Bagaimanapun, perbuatan mereka disedari seorang remaja yang kemudian terus memaklumkan kepada penduduk kampung.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Labuh Banting, Saidin Yaacob, berkata sekumpulan penduduk terus ke lokasi kejadian sebaik mengetahui tindakan empat suspek itu.

“Keempat-empat suspek yang bersenjatakan parang itu kemudian meloloskan diri dengan mencuri dua motosikal milik penduduk kampung.

“Laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu sebentar tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, kerbau yang cuba dicuri itu berharga antara RM7,000 hingga RM8,000.

Saidin berkata, pemilik kerbau berusia 50-an itu, sebelum ini pernah kehilangan tiga ekor lembu dalam kejadian Ramadan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid mengesahkan menerima laporan kejadian itu. Katanya, polis sedang menjalankan siasatan termasuk mengesan suspek yang terbabit.

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *