5 lelaki samun rumah datuk ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan lima lelaki dan menemui semula sebahagian wang tunai dan barangan berharga milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk serta ahli keluarganya selepas kediaman mereka di Kota Damansara di sini, di samun, 20 Jun lalu. Difahamkan, dua tangkapan pertama dilakukan dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Perak, manakala dua ditahan dalam serbuan ke atas sebuah hotel bajet di Langkawi, Isnin lalu. Seorang lagi suspek yang disyaki turut bersubahat dalam kes itu ditahan dalam serbuan di Gombak, Selangor, keesokannya. Salah seorang suspek yang ditahan dikatakan pernah bekerja dengan Datuk berkenaan sebelum dipecat kerana masalah disiplin. Sumber memberitahu, selain tangkapan, polis turut menemui semula sebahagian wang tunai dan barangan berharga yang dilarikan, berjumlah RM150,000. Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, pembantu rumah wanita di kediaman itu dikatakan sedang mengemas di bahagian bawah ketika tiga lelaki memakai penutup muka dengan bersenjatakan parang menyerbu masuk ke rumah. Menurut sumber, isteri mangsa serta dua anaknya dikatakan diugut dengan parang selain tangan mereka diikat dengan pengikat kabel. Suspek kemudian menyelongkar bilik dan melarikan wang tunai kira-kira RM100,000 serta beberapa barangan berharga milik keluarga itu sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta. Ketika kejadian, Datuk berkenaan dikatakan tiada di rumah kerana berada di luar negara. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, ketika dihubungi BH, malam tadi mengesahkan menerima laporan kejadian itu serta penahanan semua suspek. “Siasatan masih berjalan,” katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/297419

Kredit:BH online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *