6 kampung dilanda banjir kilat

LENGGONG: Enam kampung di sini terjejas berikutan banjir kilat sehingga dua meter selepas hujan lebat tanpa henti kira tiga jam sejak jam 4 petang semalam.

Keadaan menyebabkan 65 mangsa diarah berpindah sementara ke tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Chain, Surau Kampung Batu Dinding dan Masjid Kampung Banggol Belimbing.

Seramai 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Kuala Kangsar dan Gerik, lapan anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 10 kakitangan Majlis Daerah Lenggong (MDL) menjalankan kerja pemindahan serta menyelamat di kampung terbabit.

Penduduk terjejas tinggal berhampiran Sungai Nerok yang melimpah di Banjaran Bintang Hijau hulu Sungai Nerok.

ANGGOTA bomba mendukung seorang warga emas untuk dibawa ke tempat selamat. – Foto Ihsan Bomba.

Penduduk menganggap kejadian kali ini luar biasa kerana sudah lebih 10 tahun tidak berlaku banjir seteruk itu selepas pembinaan jalan raya utama Kuala Kangsar-Gerik berikutan sistem perparitan yang sistematik.

Ketua BBP Lenggong, Mohd Annuar Mohd Saff, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.58 petang semalam selepas kampung pertama iaitu Batu Puteri mula ditenggelami banjir kilat.

“Setibanya anggota kami ke tempat kejadian, penduduk didapati mulai cemas kerana rumah mereka ditenggelami banjir kilat sehingga sedalam kira-kira dua meter dengan arus laju berikutan hampir dengan Sungai Nerok.

“Kerja memindahkan mangsa segera dilakukan dengan menggunakan tiga bot kerana air naik secara mendadak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hujan yang mulai reda kira-kira jam 8 malam tadi menyebabkan banjir beransur surut dan air dari bukit Banjaran Bintang Hijau dikesan berada di paras tidak membimbangkan.

“Walaupun operasi menyelamat tamat pada jam 12.38 tengah malam tadi, kami masih memantau setiap dua jam sekali ke kampung terjejas bagi memastikan semua dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

 

 


ANGGOTA bomba mengharungi air bagi menyelamatkan mangsa. – Foto Ihsan Bomba

Kredit:beritaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *