Bahadoran Lengkapkan Kuota Asean TRW

PETALING JAYA: Barisan awang import Kelantan bagi saingan Liga Malaysia 2018 hampir lengkap apabila penyerang skuad kebangsaan Filipina, Misagh Bahadoran setuju memperkuatkan pasukan tersebut.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain berusia 30 tahun itu akan tiba di Kota Bharu pada malam Khamis.

“Ya dia sudah setuju. Tiket sudah pun dibeli. Dia akan tiba di Kota Bharu pada malam 28 Disember ini,” katanya kepada mStar Online.

Jelas Bibi, Bahadoran akan diperkenalkan kepada penyokong Kelantan dalam satu majlis ramah mesra Kafa bersama Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) di Kok Lanas Jumaat ini.

“Majlis menandatangani kontraknya akan dimuktamadkan pada jamuan tersebut nanti,” katanya.

Menurut beliau, Bahadoran akan mengikat kontrak selama setahun bersama The Red Warriors (TRW).

“Untuk permulaan, kita tawarkan kontrak setahun dahulu. Jika prestasinya memberangsangkan baharulah kita akan pertimbangkan untuk melanjutkan kontraknya pada masa akan datang.

“Sekarang kita perlu lebih berhati-hati selepas beberapa kes membabitkan pemain import sebelum ini,” katanya.

 


Marco Simic.

Diminta mengulas mengenai rundingan dengan bekas penyerang import Melaka United, Marko Simic, Bibi berkata pemain tersebut setakat ini bersetuju menyertai Kelantan secara lisan.

Bagaimanapun jelas Bibi, beliau masih memberikan ruang kepada Simic untuk mempertimbangkan tawaran Kafa sebelum kontrak ditandatangani secara rasmi.

“Masih ada beberapa faktor lagi yang perlu kita utamakan dalam soal pengambilan pemain import. Kita tak mahu sebarang kemusyiklan berlaku membabitkan kedua-dua pihak di kemudian hari.

“Jadi saya rasa baik kita perincikan semuanya sebelum kontrak ditandatangani. Kita pun beri dia masa untuk fikirkan dahulu tawaran sebelum dia datang ke Kota Bharu,” katanya.

Setakat ini Kelantan sudah memiliki tiga pemain import iaitu Margaro Gomis (Perancis), Cassio Francisco de Jesus (Brazil) dan Do Dong-hyun (Korea Selatan).

kredit:mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *