Bapa resah anak perempuan hilangkan diri

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa dirundung keresahan sejak enam hari lalu apabila anak perempuannya berusia 16 tahun hilang selepas dilihat keluar bersama dua individu menaiki motosikal di perkarangan rumahnya dekat Gelugor Raja, Wakaf Mempelam, di sini.

Remaja terbabit, Nur Aziera Adnan, 16, yang sudah tidak lagi bersekolah dikatakan didatangi dua perempuan di hadapan rumahnya dengan menunggang motosikal sebelum dilaporkan hilang tanpa berita sehingga hari ini.

Bapa remaja terbabit, Adnan Abdullah, 39, berkata ketika kejadian anak sulungnya itu ditinggalkan bersendirian di rumah berikutan isterinya, Tengku Suhaya Tengku Embong, 35, keluar mengambil seorang lagi anak mereka di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam kira-kira jam 1 tengah hari.

Katanya, sebaik isterinya pulang ke rumah, wanita itu mendapati anaknya itu sudah tiada dengan hanya membawa telefon bimbitnya.

“Kami mendapati Nur Aziera keluar daripada rumah tanpa membawa sebarang pakaian, malah beg tangannya yang berisi kad pengenalan turut ditinggalkan di rumah.

“Jiran kami yang mengetahui perkara itu ada mengatakan, ada ternampak Aziera didatangi dua perempuan menunggang motosikal ketika kejadian, namun tidak mengesyaki apa-apa,” katanya ketika datang ke Pejabat NSTP, di sini, hari ini.

Difahamkan, remaja terbabit tidak menjawab sebarang panggilan telefon daripada ahli keluarga, mahupun saudaranya dan kini telefon bimbitnya sudah gagal dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian daripada ahli keluarga remaja terbabit yang tampil ke Balai Polis Cabang Tiga, Khamis lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedudukan Nur Aziera diminta untuk menghubungi bapanya di talian 013-9669483 atau bapa saudaranya, Yusni Abdullah di talian 019-9384266 atau tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran.

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *