Bas ekspres jatuh gaung elak lori

KULAI: Seramai 26 penumpang berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang mereka naiki terbabas ke gaung di Kilometer 26.5 Lebuh Raya Utara Selatan, dekat Kulai, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari tadi, bas ekspres itu dikatakan cuba mengelak sebuah lori sebelum melanggar dua kereta.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu bas dan pemandu sebuah kereta, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas yang membawa 26 penumpang dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur menghala ke JB Sentral, Larkin, Johor Bahru itu mengelak sebuah lori yang memasuki laluan secara tiba-tiba.

Bagaimanapun katanya, bas ekspres itu gagal dikawal menyebabkannya melanggar besi pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Bas ekspres itu kemudian terlanggar dua kereta sehingga menyebabkan bas terbabit terbabas masuk ke gaung arah ke utara,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu kedua bas terbabit, Zamnudin Mamat, 46, cedera ringan di tapak tangan kiri, manakala seorang daripada pemandu kereta turut cedera ringan.

Sementara itu, sebuah jentera bomba dengan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai diketuai Komander Operasi Mohd Khairi Zainuddin bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 petang.

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *