Bruno Lopes perkuat TRW

PENYERANG kelahiran Brazil, Bruno Lopes menjadi pilihan terbaru Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selepas kempunan membawa masuk Marko Simic bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Bekas penyerang kelab Persija Jakarta itu sah memperkuatkan jentera penggempur The Red Warriors selepas dia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai persetujuan awal bersama badan induk itu, semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Lopes akan tiba di Kota Bharu dalam masa terdekat untuk mengikat kontrak secara rasmi bersama pasukan itu.

“Kita ikat Bruno (Lopes) kerana tertarik dengan prestasinya ketika mewakili kelab lamanya (Persija Jakarta) dalam Liga 1 Indonesia. Dia akan menggantikan Simic yang menolak tawaran kita sebelum ini.

“Selain itu, dia turut memiliki rekod jaringan gol lebih baik berbanding Simic ketika bersama Melaka United, musim lalu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Kafa bersama Pemain, Persatuan Bola Sepak Jajahan dan Penyokong Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan, Lopes, 31, berada dalam radar skuad pantai timur selepas rundingan bersama Simic menemui kegagalan sehingga mendorong penyerang Croatia itu memilih haluan dengan berkelana ke kelab Persija Jakarta.

Lopes yang meledak 10 gol dalam 29 penampilan bersama kelabnya itu merupakan pemain import keempat menyertai Kelantan selepas Morgaro Gomis (Perancis), Cassio de Jesus (Brazil) dan Do Dong-hyun (Korea Selatan).

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Kafa terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Misagh Bahadoran bagi melengkapkan kuota pemain Asean dalam pasukan itu.

Menurutnya, ia berikutan Bahadoran tampak berminat menyarung jersi Perak biarpun Kafa dilihat terlebih dahulu berusaha keras membawa penyerang kebangsaan Filipina itu ke Kota Bharu.

“Kita buat keputusan lupakan Bahadoran. Kita akur dengan pendirian dia untuk tidak bersama Kelantan dan kita perlu beralih kepada pelan kedua dengan mencari pemain Asean lain bagi menggantikan Bahadoran,” katanya.

 

kredit:SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *