Bruno Suzuki perkuat serangan TFC II

SELEPAS berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang berbisa UiTM FC, Akanni-Sunday Wasiu, pasukan Terengganu FC  (TFC) II terus memperkemaskan barisan hadapannya setelah menandatangani kontrak semusim bersama bekas tonggak import Negeri Sembilan, Bruno Junichi Suzuki bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

Pengurus pasukannya, Jasmira Othman berkata, kehadiran Bruno Suzuki itu juga melengkapkan kuota dua awang import yang diperlukan skuad kendalian Mustaffa Kamal Abdul Wahab sebagaimana diumumkan sebelum ini.

Menurutnya, khidmat penyerang kelahiran Brazil yang mendapat kerakyatan Jepun itu adalah mengisi kuota awang import Asia dan mengesahkan TFC II akan menambah dua lagi kuota awang import selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Sebelum ini perancangan kita hanya mahu menggunakan dua khidmat awang import, bagaimanapun pihak pengurusan  tertinggi telah bersetuju untuk melakukan penambahan bagi memastikan keseimbangan kekuatan pasukan selain memberi saingan kepada pencabar lain.

“Jadi buat masa ini, kita masih menunggu kedatangan dua lagi pemain terbabit yang difahamkan dari Haiti bagi mengisi posisi pertahanan dan tengah. Mereka dijangka akan tiba di Kuala Terengganu selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Bruno Suzuki tekad  mahu meneruskan rentak kecemerlangnya dengan membantu TFC II muncul antara pasukan terbaik saingan Liga Perdana musim 2018 nanti.

Katanya, kehadirannya ke TFC II juga disifatkan bukan sekadar pelengkap sebaliknya akan berusaha untuk membentuk barisan hadapan yang ampuh apabila bergandingan bersama Akanni-Sunday Wasiu, nanti.

“Semasa bersama Negeri Sembilan, saya telah  menjaringkan 12 gol dalam saingan liga musim lalu dan yakin mampu meledakkan  lebih banyak gol lagi bersama-sama TFC II.

“Malah saya lebih teruja apabila dimaklumkan  pasukan TFC II  dibarisi ramai pemain muda yang bersemangat tinggi dalam memburu kejayaan,” katanya.

 

kredit:SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *