Dapatkan maklumat sahih: Bibi Ramjani

KOTA BHARU: Bagi mengelak timbulnya sebarang kekeliruan dalam penyampaian maklumat mengenai skuad The Red Warriors (TRW), Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bertegas agar semua pihak khususnya pengamal media mendapatkan maklumat yang sahih.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, banyak kekeliruan membabitkan berita yang dilaporkan pihak media mengenai pasukan TRW selepas mengambil maklumat daripada sumber yang diragui.

“Kebelakangan ini, KAFA banyak menerima aduan berhubung isu semasa dan hal berkaitan pengurusan.

“Untuk makluman, KAFA tidak melantik mana-mana individu yang melayakkan mereka mengeluarkan sebarang kenyataan untuk diterbitkan pihak media termasuk di laman web sosial,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Bibi Ramjani berkata, pihaknya tidak akan bertanggungjawab sekiranya berita itu diragui kesahihannya.

“KAFA tidak akan bertanggungjawab jika sebarang sumber atau berita yang dikongsi atau dipamerkan tidak tepat serta keaslian berita itu diragui,” katanya.

Beliau berkata, pengamal media turut dinasihatkan supaya tidak menerbitkan berita yang diperoleh dari individu selain presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung badan induk itu.

“Pengamal media juga dinasihati agar tidak terus menyalin dan berkongsi apa-apa berita dari individu berkenaan.

“Kenyataan daripada presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung saja yang boleh diguna pakai.

“Sumber rasmi boleh juga didapati di laman rasmi kami (TRWFC). Keaslian dan kesahihan maklumat itu sudah dijamin,” katanya.

Kenyataan itu sebagai menjawab laporan sebuah akhbar tempatan yang berkata, KAFA bakal mengikat bekas pemain Manchester United, Rodrigo Passebon bagi mengisi kuota pemain import pasukan.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman yang memaklumkan tiada perbincangan dilakukan mengenai perkara itu.

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *