Do Dong-Hyun: ‘Korea Kelantan’ Yang Mulai Mencipta Nama Sebagai Hulubalang Merah

Jaringan hatrik ketika membantu Kelantan FA bangkit menewaskan Perak TBG dalam perlawanan Liga Super Malaysia oleh Do Dong-Hyun menjadikan bintang import ini pantas menjadi sensasi di kalangan penyokong The Red Warriors (TRW).

Dong-Hyun sebenarnya bukan watak asing di dalam Liga Malaysia. Artikel kali ini membawa pembaca kami mengimbau perjalanan karier pemain import kelahiran Korea Selatan ini

Pengenalan

Do Dong-Hyun dilahirkan pada 19 November 1993. Bakat dari Korea Selatan ini pada mulanya dikesan oleh Brisbane Roar di Australia ketika Dong-Hyun beraksi bersama pasukan Korea Selatan B-20.

Dong-Hyun yang berusia 19 tahun pada ketika itu dipanggil untuk menjalani pemilihan bersama kelab Australia tersebut sebelum bersetuju untuk menyertai mereka dengan kontrak selama 3 tahun.

(Photo by Paul Kane/Getty Images)

Penampilan bersama kelab A-League tersebut menjadikan Dong-Hyun sebagai pemain asing termuda yang pernah beraksi di A-League.

Namun demikian, Dong-Hyun hanya kekal semusim di Australia dan hanya tampil di dalam 3 perlawanan bersama Brisbane Roar. Beliau kemudiannya berhijrah ke FC Gifu di J2 League dan kemudiannya Norteast United di I-League di India.

Posisi pemain

Dong-Hyun adalah seorang pemain sayap. Berkaki kiri, pemain ini turut boleh beraksi sebagai penyerang tengah.

Pada musim lalu, Dong-Hyun beraksi sebagai pemain tengah menyerang bersama UITM FC.

Ini bermakna, siapa pun pengendali Kelantan FA yang akan diumumkan kemudian telah mepunyai seorang pemain serba boleh di bahagians serangan.

Mencipta nama di India

Walaupun Dong-Hyun merupakan pemain antarabangsa Korea Selatan B-20, dan pernah beraksi di Liga Super India bersama North East United, ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangannya pemain ini ketika beliau tiba di East Bengal pada 2015.

Namun selepas hanya sebulan setengah, kemampuan pemain ini mulai disamakan dengan legenda bola sepak Iran yang pernah beraksi bersama East Bengal pada lewat 1970 an, Majid Baskar.

(Photo credit should read BIJU BORO/AFP/Getty Images)

Walaupun berbadan kecil, kebolehan Dong-Hyun pantas menambat hati penyokong Bengal dengan kepantasan dan skil individu yang dimilikinya. Pada ketika itu, I-League didominasi oleh pemain asing daripada Afrika yang bertubuh sasa.

Kehadiran pemain asing daripada Afrika telah mendominasi bola sepak di Kolkata selama tiga dekad sebelum itu. Ini bermakna kehadiran Dong-Hyun mengubah persepsi mengenai pengambilan pemain import di saingan domestik negara situ.

Prestasi Dong-Hyun bersama East Bengal sehingga mampu menjaringkan 12 gol daripada 10 penampilan membuatkan East Bengal menambahbaik kontrak pemain ini sehingga ke musim 2018/19 I-League.

Walaupun bermula dengan baik, gelaran sebagai ‘The Next Majid Bakar’ masih lagi satu perjalanan yang jauh buat Dong-Hyun.

Kepantasan, kemahiran menggelecek, kebolehan menyempurnakan bola mati, dan memuncak ketika perlawanan besar merupakan aset utama pemain ini.

Dua gelaran Calcutta Football League pada 2015 dan 2016 pantas menjadikan nama Do Dong-Hyun menjadi sebutan penyokong kelab East Bengal FC.

Selamat tinggal East Bengal FC

Pada 17 November 2016, Dong-Hyun dan East Bengal FC mengejutkan ramai penyokong mereka apabila pemain tersebut memutuskan untuk meninggalkan kelab I-League itu.

Tetapi ia bukanlah kehendak pemain tersebut. Ini kerana Dong-Hyun masih mempunyai kontrak bersama kelab Kolkata itu. Namun demikian, pengendali East Bengal, Trevor James Morgan berpendapat, kelab berkenaan memerlukan pemain yang ebih berprofil tinggi untuk menjuarai I-League.

Untuk rekod, Trevor James Morgan merupakan pengendali Sarawak FA sekitar musim 2004 di Liga Malaysia. Akhirnya Dong-Hyun dan East Bengal FC berpisah setelah persetujuan pembayaran pampasan dipersetujui.

Dong-Hyun pernah dipetik sebagai berkata pada ketika itu:

“Saya telah menemui jurulatih pada minggu lepas. Beliau suka cara permainan saya, beliau gemar akan responsif yang diperagakan dan gaya permainan yang ditampilkan.”

“Tetapi beliau mensasarkan kejuaraan I-League, dan jelas tidak perlukan saya di dalam pasukan. Namun, saya tidak tahu mengapa beliau tidak mahukan saya, jika benar beliau gemarkan corak permainan.”

“Mungkin jurulatih mahukan seorang pemain seperti David Silva. Oleh kerana itu, dia menolak sesiapa sahaja termasuk Zlatan Ibrahimovic.”

UiTM FC

Walaupun dikhabarkan beberapa kelab di Kolkota berminat untuk menyunting beliau selepas meninggalkan East Bengal FC, Dong-Hyun kali ini nekad untuk mengubah angin dalam profesion beliau.

Kali ini, Dong-Hyun memilih untuk memperagakan aksi di Liga Malaysia. Setelah gagal ujian pemilihan bersama Sarawak FA, Dong-Hyun akhirnya disunting oleh UITM FC untuk saingan 100Plus Liga Premier 2017.

Kehadiran Dong-Hyun segera memberi impak kepada kelab bola sepak milik institusi pendidikan itu. Bergandingan dengan Akanni-Sunday, kedua-dua pemain berjaya menjaringkan 32 gol di saingan Liga Premier pada musim lalu.

Dong-Hyun sendiri telah menjaringkan 13 gol, termasuk hatrik dalam kemenangan 7-2 ke atas MISC_MIFA pada Mac tahun lalu.

Kredit: Berita Harian

Secara keseluruhan prestasi Dong-Hyun di musim pertama saingan domestik di Malaysia adalah menjadi, sehingga membantu UITM FC menduduki tangga ke-6 saingan 100Plus Liga Premier 2017.

Prestasi Dong-Hyun bersama UITM FC, pantas mendapat perhatian pasukan Liga Super untuk saingan musim 2018.

Kelantan FA

Musim kedua di kancah saingan Liga Malaysia, Dong-Hyun mengambil keputusan untuk menyertai Kelantan FA pada musim 2018.

Bermula agak perlahan apabila ditewaskan oleh Melaka United dalam perlawanan pertama, Dong-Hyun membantu pasukan barunya mengikat Terengganu FC di Kota Bharu melalui jaringan penalti.

Kredit: Harian Metro

Perubahan barisan kejurulatihan yang diambil alih oleh Yusri Che Lah selepas pemecatan Santhit Bensoh segera memberi impak positif kepada prestasi Dong-Hyun.

Bergandingan dengan Mohamed Ghaddar dan Bruno Lopes, Dong-Hyun tampil mengegarkan Perak TBG dengan jaringan hatrik, dalam kemenangan 3-2 pada hujung minggu lalu.

Rumusan

Perjalanan mungkin lebih jauh buat pemain kelahiran Korea Selatan ini, jika kejayaan menjadi ukuran.

Apa yang diperlukan sekarang, ialah untuk kekal fokus dan meneruskan aksi cemerlang yang dipamerkannya setakat ini.

Korea ‘Kelantan’- Demikianlah panggilan sebahagaian daripada penyokong TRW terhadap pemain ini.

Bagi pihak Semuanya BOLA, kami ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Do Dong-Hyun bersama Kelantan FA.

 

kredit:semuanyabola

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *