Dua kenderaan musnah terbakar

PADAWAN:Sebuah pacuan roda jenis Mitsubishi Pajero dan kereta PERODUA Myvi musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Jalan Kuching-Serian, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku di bahagian mengecat di bengkel berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.38 pagi.

Beliau berkata, lapan anggota termasuk tiga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi pada jam 1.51 pagi, didapati dua kenderaan itu sudah terbakar sepenuhnya dan bomba segera mengawal kebakaran daripada merebak.

“Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 3.10.pagi,” katanya.

Katanya lagi, pemilik bengkel itu mendakwa beliau menyedari kejadian itu selepas mendengar letupan kuat sebelum melihat api marak.

“Tiada kecederaan berlaku dalam kejadian itu dan siasatan lanjut kini dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian,” katanya.

 

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *