Fajr dilantik pengarah teknikal TRW

BEKAS jurulatih skuad kebangsaan Syria, Fajr Ibrahim dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selaku pengarah teknikal The Red Warriors (TRW), berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan mengejut itu dibuat kurang 24 jam selepas Kelantan tersingkir ke suku akhir kempen Piala FA susulan kekalahan 1-4 kepada PKNS FC pada pusingan ketiga, di Shah Alam, malam kelmarin.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, kehadiran Fajr diharap dapat membantu  menstrukturkan semula pelan jangka panjang TRW bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia, musim ini.

“Skop tugas Fajr tertumpu pada semua pasukan di bawah seliaan Kafa iaitu Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Super tetapi keutamaannya sudah tentu memperkasakan semula skuad senior.

“Tidak mustahil juga Fajr akan dilantik ketua jurulatih Kelantan baharu nanti. Dia akan mendapatkan segala pandangan dari Yusri Che Lah (pemangku jurulatih) berhubung prestasi semasa pasukan ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pelantikan individu berusia 54 tahun itu sekali gus menutup ruang dua calon lain iaitu Darren Stewart dari Australia dan Dejan Antonic (Serbia) yang sebelum ini turut menawarkan diri membimbing skuad pantai timur itu.

Sebelum ini, Kafa mengambil langkah drastik memecat Sathit Bensoh selepas jurulatih import dari Thailand itu gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam tiga perlawanan awal liga di bawah kendaliannya, pertengahan Februari lalu.

Bibi Ramjani turut mengesahkan bekas pengemudi kelab Al-Mina’a SC dalam Liga Iraq itu sudah menandatangani kontrak sehingga akhir musim ini bersama badan induk itu, hari ini.

“Kita tak letak KPI sebab jawatan pengarah teknikal ini tak ada sasaran. Sekarang, kita mahu dia nilai semula prestasi pasukan secara keseluruhan kerana sebelum ini sudah beberapa kali kita keluarkan surat amaran kepada pemain.

“Fajr akan tiba di Kota Bharu esok, rasanya tak ada masalah untuk dia memulakan tugas dengan segera tambahan pula sudah sebulan dia memantau perkembangan pasukan (senior) selain skuad Belia dan Presiden Kelantan,” katanya.

 

kredit:SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *