Hospital Kuala Krai bertaraf antarabangsa

KUALA KRAI: Kemudahan Hospital Kuala Krai (HKK) bernilai RM300 juta di sini berupaya menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di negeri ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata hospital bertaraf antarabangsa itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan depan.

Beliau berkata, HKK memberi manfaat dan impak positif kepada ekonomi masyarakat Kelantan amnya dan Kuala Krai khususnya.

 

“Operasi HKK akan menyediakan 2,700 perjawatan, sekali gus memberi limpahan besar pembangunan setempat seperti pembinaan rumah, premis perniagaan, restoran, dobi dan hotel.

“Ini bakal menjadi pemangkin pembangunan di Kuala Krai khususnya dan Kelantan amnya,” katanya pada sidang media selepas melawat projek HKK di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Yahaya Mamat; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Datuk Razani Ab Lazid dan Pengarah HKK, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh.

Mustapa meluangkan masa hampir sejam melawat HKK dan mendengar taklimat projek terbabit.

HOSPITAL Kuala Krai yang sudah siap 95.5 peratus dan dijangka siap sepenuhnya hujung bulan depan. – Foto Fathil Asri

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, rakyat wajar berbangga kerana memiliki hospital bertaraf dunia dengan kos hampir RM300 juta di negeri itu.

“Tidak banyak hospital di dunia yang canggih seperti ini dengan lapan bilik bedah dan doktor pakar.

“Biarpun ada yang menyebut ini tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun hakikatnya untuk membinanya tidak mudah kerana memerlukan perancangan teliti dan kepemimpinan yang baik,” katanya.

Beliau berkata, projek yang menghampiri 95.5 peratus lengkap itu dijangka siap sepenuhnya hujung bulan depan.

 

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *