Hospital Langkawi pertama miliki khidmat ambulans udara

LANGKAWI: Hospital Langkawi (HL) menjadi hospital pertama di negara ini menyediakan perkhidmatan ambulans udara untuk pemindahan kecemasan pesakit.

Helikopter Airbus H135 9M-DRA untuk tujuan itu mula beroperasi hari ini, sekali gus menamatkan penantian sekian lama penduduk tempatan dan pelancong untuk memastikan pemindahan pesakit kes kecemasan dari pulau ini ke tanah besar, ditangani dengan cepat dan pantas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pesawat terbabit bersedia membawa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar atau mana-mana hospital lain.

“Perkhidmatan ini disediakan secara kontrak selama dua tahun dengan kerjasama Aerial Power Lines Sdn Bhd (APL) dan fokus kepada kes kecemasan sahaja,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Ambulans Udara di HL di sini, hari ini.

Dr Hilmi berkata, sebanyak RM10 juta setahun bakal dibelanjakan untuk menampung kos operasi ambulans udara itu, membabitkan 40 jam penerbangan bagi membawa pesakit pergi dan balik dari HL ke tanah besar.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 20 kes kecemasan perlu dirujuk ke HSB setiap bulan. Sebelum ini, HL menggunakan feri penumpang dan ambulans laut dengan tempoh perjalanan sehingga empat jam yang turut terganggu ketika musim tengkujuh.

“Walaupun perbelanjaan untuk menyediakan perkhidmatan ambulans udara ini agak lebih, ia penting untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik, malah memberi keistimewaan tersendiri kepada 120,000 penduduk dan lebih empat juta pelancong setahun yang datang bercuti di Langkawi,” katanya.

Beliau berkata, dari segi teknikal, ruang helikopter boleh menempatkan dua anggota perubatan dan seorang pesakit berbaring, selain dilengkapi peralatan canggih untuk menangani kes kecemasan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, HL bakal memperoleh sebuah bangunan baharu yang dilengkapi peralatan canggih untuk menampung jumlah pesakit dan mengelakkan kesesakan untuk mendapatkan rawatan.

“Pembinaan sebuah bangunan baharu yang tapaknya sudah dikenal pasti dan dilengkapi peralatan canggih bernilai RM500 juta itu bakal meningkatkan kapasiti kepada 340 katil, berbanding 190 katil ketika ini.

“Peruntukannya sudah diluluskan dan proses pembinaan bermula tahun ini sebelum siap dalam tempoh tiga tahun. Sasarannya untuk menempatkan sekurang-kurangnya 15 pakar perubatan di sini, berbanding hanya tujuh ketika ini,” katanya.

Pada akhir majlis, Hilmi turut menyaksikan simulasi membawa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan ke tanah besar menggunakan ambulans udara dengan helikopter diterbangkan Kapten Khairil Azwan Jamaludin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan; Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail dan Pengarah HL, Dr Mansor Ismail.

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *