Jalan mula dinaiki air di Besut

KUALA TERENGGANU: Hujan lebat dan kerap sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Besut, mula dinaiki air pagi ini.

Malah, hujan yang turut disusuli angin kencang menyebabkan kejadian pokok tumbang di bandar raya ini, antaranya di Jalan Kemajuan di sini, dan sekitar Kelulut, Marang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Zulkifli Abu Bakar, berkata MBKT bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat ketika ini sedang menjalankan kerja mengalihkan pokok tumbang di lokasi terbabit.

Beliau berkata di Batu Buruk, beberapa khemah peniaga di tapak ekspo sempena cuti sekolah di situ, turut musnah dipukul ribut.

Di Besut, Jalan Seberang Jertih di hadapan Pejabat Meteorologi sudah dinaiki kira-kira 0.3 meter menyebabkan satu laluan ditutup kepada kenderaan ringan.

Sementara itu laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan dua stesen di Setiu menunjukkan peningkatan aras sungai sehingga melebihi paras waspada iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok pada paras 7.47 meter (m) melebihi 7m paras waspada, manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu pada paras 20.57m melebihi paras waspada 20m.

Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut pula mencatatkan paras air melebihi paras normal iaitu 34m melebihi 31.74m paras normal.

Sementara itu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman, berkata setakat ini keadaan masih terkawal dan orang ramai dinasihatkan tidak panik dengan pelbagai gambar viral di media sosial yang menunjukkan keadaan kenaikan paras air di beberapa jalan raya.

“Paras sungai ketika ini juga masih di tahap normal. Walaupun ada beberapa sungai yang mencatatkan kenaikan melebihi paras waspada, ia kenaikan minimum.

“Cuma saya mahu mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mendapatkan laporan yang betul daripada pihak berkuasa dan saluran media perdana mengenai keadaan dan situasi semasa banjir bagi mengelak situasi panik,” katanya.

 

 

Krdit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *