Kuantan FA digugurkan?

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Sabtu memutuskan untuk menggugurkan Kuantan FA dalam saingan Liga Malaysia 2018 berkuatkuasa serta-merta.

MFL dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pasukan terbabit melanggar peraturan pertandingan dan perlembagaan MFL kerana tidak hadir dalam perlawanan bertemu PDRM di Stadium Shah Alam, malam Ahad lalu.

“Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk menggugurkan penyertaan Kuantan FA dalam saingan Liga Malaysia 2018. Sekretariat MFL telah pun berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mereka telah memberikan sokongan penuh ke atas tindakan ini.

“Maka dengan ini penyertaan Kuantan FA dibatalkan berkuatkuasa serta merta,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Kuantan FA telah diberikan peluang yang secukupnya untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu pengurusan pasukan terbabit.

“Dari pihak pengurusan liga juga, kami telah cuba membantu dan memberikan ruang kerana kami berasa inilah peluang terbaik untuk pemain-pemain serta pegawai yang belum menerima bayaran untuk dibayar dengan lebih cepat.

“Namun isu ini sudah melarat sehingga pasukan ini tidak hadir ke satu perlawanan, ini adalah satu pelanggaran besar terhadap perjanjian penyertaan dan jelas menunjukkan bahawa pengurusan Kuantan FA tidak mampu untuk menggunakan peluang yang diberikan bagi merencanakan semula masa depan pasukan itu,” katanya.

Terdahulu, Kuantan FA mencatat sejarah dalam saingan Liga Malaysia apabila tidak hadir dalam perlawanan bertemu PDRM di Stadium Shah Alam, malam Ahad lalu.

Difahamkan tragedi yang julung kali berlaku itu ekoran protes yang dibuat pemain dan pegawai perlawanan yang tidak membayar gaji sejak tiga bulan lalu.

Susulan tindakan protes itu menyaksikan kemenangan percuma 3-0 diberikan kepada The Cops.

kredit:mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *