Labu gergasi jadi tumpuan

JEMPOL: Kediaman seorang peneroka di Felda Pasoh Tiga di sini, menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat sendiri labu seberat kira-kira 20 kilogram yang ditanamnya dengan lebih dekat.

Yazid Shaari, 82, berkata beliau mula menyedari kelainan pada labu berkenaan sejak dua minggu lalu apabila mendapati saiznya berbeza daripada yang biasa dilihat.

Katanya, tanaman berkenaan ditanam awal Januari lalu dan mula mengeluarkan buah pada 24 Februari lalu, namun sejak dua minggu lalu beliau mendapati saiz labu itu membesar dengan semakin cepat.

“Saya mendapat anak benih daripada menantu yang menerimanya dari kenalan yang pulang dari Arab Saudi.

“Menantu meminta saya menanam di kawasan belakang rumah, namun tidak sangka ia tumbuh begitu besar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Yazid berkata, beliau tidak menggunakan baja kimia sebaliknya menggunakan baja organik dan disebabkan tumbesaran labu berlaku dengan cepat, jagaan lebih rapi diberikan supaya tidak menjadi menjadi sasaran serangga perosak.

“Buat masa sekarang saya tidak berniat menuainya kerana mahu melihat ia bertambah besar,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pejabat Felda Pasoh Tiga, Muhammad Faiz Mohd Alwi, berkata ini adalah kali pertama beliau melihat labu sebesar itu.

Katanya, selama ini beliau hanya mengetahui labu gergasi memang wujud di luar negara melalui media massa tetapi hari ini berpeluang melihatnya secara langsung.

“Saya yakin labu ini akan bertambah besar jika dijaga rapi bagi menghindari ancaman serangga perosak,” katanya.

 

 

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *