Lebih 100 kenderaan tenggelam

BUKIT MERTAJAM: Lebih 100 kenderaan dikhuatiri rosak selepas ditenggelami banjir yang melanda kawasan penempatan sekitar perumahan Desa Damai di Permatang Rawa, di sini.

Kebanyakan kenderaan dikatakan tidak sempat dipindahkan pemilik masing-masing selepas paras air meningkat secara mendadak kira-kira jam 9 malam tadi.

Berdasarkan tinjauan kebanyakan kenderaan terjejas ditinggalkan pemilik di kawasan taman perumahan, dengan ada di antaranya tenggelam sehingga hanya kelihatan bumbung sahaja.

Selain kereta, turut tenggelam dan mengalami kerosakan dalam banjir yang disifatkan penduduk paling teruk pernah berlaku itu ialah motosikal dan lori.

Choong Kah Tung, 63, mengakui dua kenderaan milik anak dan menantunya antara lebih 100 yang tenggelam.

“Saya tinggal di sini sejak 1985 dan ini kali pertama banjir teruk begini. Sebelum ini ada juga banjir, tetapi hanya sekejap sahaja dan paras air juga tidak tinggi.

“Saya tak tahu macam mana kami nak tanggung kerugian dialami, tetapi kami bersyukur keluarga selamat,” katanya yang juga pesara kenderaan.

Kah Tung berkata, selain keluarganya ramai lagi jirannya menerima nasib sama apabila kenderaan masing-masing ditenggelami air dengan rumah penduduk Taman Desa Damai kira-kira 500 buah.

Sementara itu, Zainol Hashim, 51, berkata dia terkandas sejak kira-kira jam 10 malam tadi selepas lori dipandu yang membawa muatan hasil laut mengalami kerosakan ketika mengharung banjir.

“Saya bawa ikan, sotong dan banyak lagi untuk dihantar ke Pasar Bukit Mertajam, tetapi lori yang saya pandu rosak ketika mengharung banjir,” katanya.

Sementara itu tinjauan di lokasi berkenaan mendapati kebanyakan mangsa dari sekitar kawasan Permatang Rawa mengambil kesempatan menempatkan kenderaan masing-masing di lokasi lebih tinggi, khususnya di jejambat Jalan Nangka, di sini.

Beberapa anggota polis turut kelihatan membantu mangsa, malah turut mengawasi kawasan Jalan Nangka, untuk mengelak kenderaan milik mangsa banjir yang ditinggalkan menjadi sasaran penjenayah.

Hasil pemerhatian, semua kedai termasuk restoran nasi kandar ditenggelami air dengan paras antara 0.8 hingga 1.3 meter.

 

kreditberitaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *