Lyon hampiri Liga Juara-Juara

PARIS: Kapten Nabil Fekir meledak gol menakjubkan ketika membantu Lyon kekal di landasan terbaik untuk pulang ke saingan Liga Juara-Juara dengan kemenangan 5-2 di Dijon dalam saingan Ligue 1.

Memphis Depay, Houssem Aouar, Bertrand Traore dan Maxwel Cornet turut menemui sasaran di Burgundy yang memberikan kemenangan liga keenam berturut-turut buat Lyon.

Skuad kendalian Bruno Genesio – yang terlepas tempat ke Liga Juara-Juara musim ini – kini hanya satu mata di belakang penghuni tangga kedua Monaco yang akan bertandang ke Guingamp hari ini.

Lyon juga mendahului tiga mata ke atas Marseille di tangga keempat, yang akan bertemu Lille dalam satu lagi perlawanan hari ini.

“Sasaran kami adalah untuk menang dan itu yang kami lakukan. Ia tidak pernah mudah di Dijon,” kata Genesio.

“Kami berpuas hati dengan kemenangan ini dan dapat menjaringkan lima gol, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki.”

Hanya tiga pasukan teratas dalam Ligue 1 layak ke Liga Juara-Juara, dan Lyon dilihat berada di landasan terbaik selepas bangkit daripada prestasi hambar pada penghujung Februari.

Bagaimanapun, mereka bangkit merakam kemenangan termasuk kemenangan dramatik di Marseille dan setakat ini sudah menjaringkan 19 gol dalam enam perlawanan.

Ini adalah perlawanan kelima di tempat lawan musim ini yang menyaksikan Lyon meledak lima gol, dengan Depay memulakan pesta gol untuk gol ke-15 dirinya dalam saingan liga musim ini, enam daripadanya dalam lima perlawanan terakhir.

Dalam perlawanan lain, Rennes bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk seri 1-1 dalam pertemuan tetangga dengan Nantes. – AFP

 

 

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *