Nahas ragut nyawa pelajar kolej

REMBAU: Seorang pelajar kolej maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta dinaiki terbalik di Kilometer 228.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu menyebabkan T Sharvin, 22, maut di tempat kejadian manakala rakannya yang memandu, S Kaushalya Sharon, 21, cedera parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Asisten Superintendan Nazruel Ekram Abu Shari, berkata siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai gagal dikawal sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbalik.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta yang remuk dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Tampin,” katanya di sini, hari ini.

Nazruel Ekram berkata, kejadian turut menyebabkan bahagian hadapan kereta itu terbakar dan dipadamkan oleh petugas Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) yang berada di kawasan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.03 pagi dan bergegas ke lokasi bersama satu jentera serta enam anggota.

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *