Nidzam sedia lonjak prestasi Kedah

ALOR SETAR – Pemangku Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof bersedia melonjakkan kembali prestasi Lang Merah ke kedudukan lebih baik.

Menurutnya, beliau akan melaksanakan amanah Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebaik mungkin selepas mengambil alih tugas tersebut daripada pengendali Sepanyol, Ramon Marcote.

“Selepas diamanahkan pengurusan, saya rasa lebih bersedia. Saya akan berikan yang terbaik berbanding sebelum ini.

“Pelbagai pandangan penyokong timbul pada saat ini. Masing-masing mempunyai pendapat sendiri namun saya harap mereka akan kembali bersatu menyokong pasukan,” katanya yang ditemui di Stadium Sultan Abdul Halim, petang tadi.

Mohd Nidzam mengakui beliau faham penyokong mahu lihat prestasi pasukan kembali melonjak.

Jelasnya, tidak akan ada rombakan besar yang akan dilakukan olehnya terhadap taktikal dan pasukan yang dilakukan Marcote sebelum ini.

“Aspek yang akan ditekankan adalah dari sudut serangan dan pertahanan.

“Serangan mungkin kita tidak berapa risau kerana sudah menjaringkan 10 gol pada lima perlawanan dalam saingan Liga Super.

“Cuma penekanan di bahagian serangan kerana kita telah bolos 12 gol,” katanya.

Kedah kini dalam persediaan menghadapi perlawanan keenam Liga Super 2018 dengan menerima kunjungan Selangor pada 13 April depan di Stadium Darul Aman.

kredit:SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *