NS uji pemain pada Piala Super Asia 2018

SEREMBAN: Negeri Sembilan bersetuju menyertai kejohanan bola sepak Piala Super Asia 2018 di Makassar, Indonesia, dari 19 hingga 21 Januari depan.

Kenyataan laman rasmi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) menjelaskan tiga lagi pasukan akan bertanding pada kejohanan itu iaitu PSM Makassar selaku tuan rumah, Adelaide United (Australia) dan Home United (Singapura).

“Ini peluang terbaik buat pasukan untuk menguji kombinasi antara pemain lama dan baharu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Malah, kehadiran pasukan berwibawa seperti Adelaide United dalam kejohanan itu dapat memberi peluang kepada pemain Negeri Sembilan menimba pengalaman selain menunjukkan kemantapan dalam persembahan,” menurut kenyataan itu.

Pasukan bimbingan Jorg Steinebrunner itu juga akan mengadakan perlawanan persahabatan pramusim dengan beberapa kelab di Kemboja dalam siri lawatan ke negara itu dari 4 hingga 11 Januari depan.

Kunjungan skuad Rusa ke negara itu sebahagian daripada persiapan menghadapi Liga-M musim depan yang dijadual bermula pada Februari.

Negeri Sembilan akan menentang tiga pasukan kelab di Kemboja iaitu Army FC, PPC FC dan Svay Rieng FV.

Selepas beraksi dalam Liga Perdana selama empat musim berturut-turut sejak 2014, Negeri Sembilan akan bermain dalam Liga Super tahun depan.

PBNS dijangka mengumumkan barisan pemain dan pegawai pasukan itu bagi musim 2018 pada 3 Januari ini.

 

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *