OKU tikam pelajar Tingkatan 3

MERSING – Seorang OKU berusia 31 tahun ditahan polis selepas menikam pelajar Tingkatan 3 di pekarangan Masjid Kampung Pengkalan Batu di sini, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superitendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian akibat dendam antara suspek dengan mangsa.

“Suspek yang juga dari kampung tersebut telah pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan bertindak menikam bahagian belakang badan mangsa dengan menggunakan sebilah pisau yang dibawa kira-kira jam 11 pagi tadi.

“Suspek telah pun ditahan dan pihak kami dapati suspek merupakan OKU kategori ketidakupayaan masalah pembelajaran. Kejadian dipercayai berlaku akibat dendam daripada ejek mengejek antara mangsa dan suspek pada penghujung tahun 2017,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semasa kejadian mangsa bersama ibunya sedang menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul kampung tersebut.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan pendarahan sebelum dikejarkan ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa menerima empat jahitan dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

 

 

kredit:SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *