Pasangan kekasih ditahan campak mayat bayi ke sungai

SEGAMAT: Seorang lelaki bertindak zalim dengan mencampakkan mayat bayi berusia enam bulan yang dilahirkan teman wanitanya, ke dalam Sungai Kenawar, Pogoh, dekat sini, beberapa minit selepas dilahirkan, tengah malam tadi.

Bagaimanapun perbuatan lelaki berusia 21 tahun itu terbongkar apabila dia terpaksa menghantar teman wanita yang berusia 19 tahun, mendapat rawatan ke Unit Kecemasan Hospital Segamat, akibat pendarahan teruk.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Raub Selamat, berkata wanita itu dipercayai melahirkan bayi tanpa disedari keluarganya, di biliknya di rumah di Paya Pulai, dekat sini kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Anggota polis membawa suspek ( tiga dari kiri ) bertindak zalim dengan mencampakkan mayat bayi berusia enam bulan yang dilahirkan teman wanitanya, ke dalam Sungai Kenawar, Pogoh, Segamat. – Foto Ahmad Ismail

Katanya, lelaki itu kemudian membungkus bayi yang dipercayai meninggal dunia ketika lahir itu dengan plastik sebelum mencampakkan dari atas jambatan setinggi kira-kira 10 meter ke Sungai Kenawar.

Bagaimanapun beliau berkata, keadaan wanita itu yang mengalami pendarahan dan dalam kesakitan menyebabkan lelaki itu menghantarnya untuk menerima rawatan di Hospital Segamat.

“Kakitangan Unit Kecemasan hospital yang menjalankan pemeriksaan curiga dengan keadaan wanita itu yang kemudian disahkan baru melahirkan bayi menyebabkan laporan polis dibuat,” katanya.

Raub berkata, susulan laporan itu, polis berjaya menahan suspek lelaki di perkarangan hospital itu kira-kira jam 4 pagi, manakala suspek wanita masih dirawat di hospital.

Katanya, hasil siasatan awal, suspek lelaki mengakui mencampakkan mayat bayi ke dalam sungai, beberapa minit selepas dilahirkan.

Beliau berkata, susulan pengakuan itu, polis membawa suspek ke lokasi kejadian sebelum plastik kuning yang mengandungi mayat bayi terbabit ditemui terapung, kira-kira jam 3.15 petang tadi.

Katanya, suspek lelaki yang bekerja di sebuah kedai alat ganti kenderaan di bandar ini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes.

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *