Pelajar maut pulang dari sekolah

JOHOR BAHRU  – Seorang pelajar yang dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di sini maut selepas motosikalnya terlibat kemalangan dengan sebuah van di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Air Hitam di sini, tengahari tadi.

Dalam kejadian jam 1.40 petang itu, mangsa Muhammad Haikal Ahmad, 16,  menunggang motosikal Modenas Kris meninggal dunia di tempat kejadian selepas melanggar sebuah van berdekatan Danga City Mall, di sini.

Tular di laman sosial, mangsa yang lengkap berpakaian sekolah dilaporkan turut kehilangan telefon bimbit dipercayai dilarikan individu yang melihat insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah bandar raya ini dipercayai telah membelok ke Jalan Kebun Teh Lama.

“Motosikal mangsa kemudian bertembung dengan van tersebut dari arah Skudai ke pusat bandar raya. Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

“Sementara pemandu van berkenaan iaitu lelaki berusia 54 tahun beralama di Kuala Sedili Besar, Kota Tinggi tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Shahurinain mengulas menganai dakwaan seorang saksi mengenai seorang lelaki mencuri telefon bimbit mangsa, beliau berkata, perkara tersebut masih dalam siasatan.

Seorang saksi dikenali sebagai Harry Cyclone yang berada di tempat kejadian telah memuat naik status dalam Facebooknya, mendakwa melihat seorang lelaki mengambil telefon bimbit mangsa.

“Kepala mangsa berlumuran darah dan kami semua yang berada di situ cuba membantunya sebelum tiba-tiba datang seorang lelaki lalu mengambil telefon bimbit mangsa dan menyatakan mahu menghubungi keluarga budak lelaki itu.

“Bagaimanapun dia mengambil telefon bimbit mangsa dan melarikan diri,” katanya.

 

kredit:SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *