Pemandu lori maut

BATU PAHAT: Seorang pemandu lori maut tersepit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 1, Jalan Peserai Kecil, berhadapan Balai Polis Parit Sulong, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu, mangsa Sim Kian Chun, 38, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Mohd Asroy Mohd Yahaya, berkata sebuah jentera bomba dengan enam anggota dikejarkan selepas menerima penggilan kecemasan.

Katanya, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat pekan Parit Sulong menghala ke Muar.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah lori satu tan tersepit di antara sebuah treler di belakangnya dan sebuah lori tiga tan di hadapannya, manakala sebuah kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) berada di hadapan sekali.

“Pemandu lori satu tan tersepit di tempat pemandu berikutan kepala lori berkenaan menghentam bahagian belakang lori tiga tan selepas dipercayai dirempuh treler. Bagaimanapun punca kemalangan berkenaan tidak diketahui.

“Bomba mengambil masa 10 minit mengeluarkan mangsa dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada BH.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 55 maut selepas kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa sampah dalam kejadian berasingan di Kompleks Penghulu Chaah, Segamat, tengah hari tadi.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.06 tengah hari itu, mangsa, Loh Man Kiong, dari Kampung Paya, Kluang, maut di tempat kejadian selepas kereta dinaikinya remuk akibat pertembungan itu.

Bagaimanapun, pemandu lori sampah berkenaan tidak mengalami kecederaan.

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *