Persiapan TRW tidak terganggu

KOTA BHARU: Persiapan pasukan Kelantan bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga-M) musim depan tidak terganggu meskipun negeri itu sedang dilanda banjir.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Hussin Deraman berkata, pasukan sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung di Kota Bharu serta di luar negeri.

Katanya, setakat ini latihan di padang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan demi memastikan segala perancangan pasukan terlaksana.

“Seperti latihan tetap berjalan namun ia masih bergantung dengan keadaan cuaca sekirannya tidak mengizinkan kita juga tidak dapat nak elak.

“Pasukan juga akan menghadapi beberapa perlawanan persahabatan bermula esok yang akan diadakan di Kota Bharu menentang sebuah pasukan Liga Bolasepak Rakyat (LBR),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas perkembangan sama, Hussin berkata, sekiranya banjir terus bertambah buruk, pihaknya sudah mempunyai rancangan kedua bagi menghadapinya.

“Kita sudah mempunyai ‘Plan B’ sekiranya cuaca masih tidak menentu dan perkara yang luar jangkaan berlaku di negeri ini.

“Setakat ini, banjir yang berlaku boleh dikatakan tidak menjejaskan persiapan pasukan dan segala kerja-kerja tetap berjalan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hussin menyifatkan desas-desus mengatakan KAFA bakal mengikat bekas pemain Manchester United, Rodrigo Passebon hanyalah sekadar khabar angin.

“Tiada perbincangan dibuat untuk mengambil pemain itu…ia hanya khabar angin, pasukan sekarang hanya menguji tiga pemain dari Brazil untuk diserapkan dalam skuad The Red Warriors (TRW) musim depan,” katanya.

 

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *