Rogol jiran selepas tekup muka mangsa dengan kain

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki merogol wanita yang juga jirannya, selepas memasuki rumah mangsa di Kota Kuala Muda, di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa, 28, dikatakan tidur di rumahnya kira-kira jam 9.30 pagi sebelum suspek berusia 54 tahun tiba-tiba merogolnya.

Berdasarkan maklumat, suspek menutup muka wanita itu yang sedang tidur di dalam bilik di rumah berkenaan menggunakan kain, menyebabkan mangsa tidak dapat melawan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisiner Saifi Abdul Hamid, berkata mangsa sebelum itu pulang ke rumahnya dan masuk ke dalam bilik untuk tidur, namun tiba-tiba tersedar apabila mukanya diselimut dengan kain oleh seorang lelaki.

“Mangsa meronta dan cuba melawan, namun gagal, sebelum suspek merogol mangsa. Suspek kemudian berlari keluar melalui pintu depan rumah dan masuk ke dalam hutan berhampiran.

“Mangsa kemudian bergegas ke rumah kakaknya dan menceritakan kejadian berlaku, sebelum dibawa ke Balai Polis Kuala Muda untuk membuat laporan polis,” katanya.

Saifi berkata, susulan laporan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Kuala Muda menahan seorang lelaki yang juga jiran mangsa.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan kini direman tiga hari sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *