Semangat baharu Lang Merah

PENGURUS pasukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin percaya kehadiran pemain sayap baharu, Andik Vermansyah mampu mengisi ruang kekosongan dan semangat baharu kepada pasukan untuk terus mengharungi saingan Liga Super 2018.

Jelasnya, kehadiran Andik yang mengisi kuota pemain Asean dan juga import kelima musim ini diharap memberi sinar kebangkitan selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Kekalahan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak sebelum ini memperlihatkan kekurangan yang ada pada pasukan khususnya dibahagian serangan. Saya percaya dengan sokongan jurulatih, pemain dan semua pihak, Andik mampu menggalas cabaran jentera serangan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kerana memberi kebenaran kepada cadangan  mendapatkan khidmat Andik.

“Dalam perlawanan ketiga bertemu PKNP FC di Stadium Batu Kawan, malam ini, kami amat mengharapkan tiga mata pertama bagi musim ini,” jelasnya pada majlis memperkenalkan pemain dan penyerahan jersi nombor 30 kepada Andik di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), semalam.

Sementara itu Andik memaklumkan dirinya dilamar lima kelab di Indonesia namun memilih untuk meneruskan karier bersama Kedah.

“Lima kelab di Indonesia cuba mendapatkan khidmat saya tetapi disebabkan reputasi dan nama besar sebagai pasukan bergelar juara di Malaysia, saya memilih Kedah untuk musim ini.

“Bukan mudah seperti yang dijangkakan, kerana saya perlu bekerja keras dan semua tahu Kedah adalah antara pasukan terbaik di Malaysia dan saya harus mengadaptasi corak permainan pasukan secepat mungkin.

“Dengan hubungan baik antara kebanyakan pemain Kedah yang sudah saya kenali sebelum ini, saya yakin dapat membantu pasukan mencapai kejayaan musim ini,” katanya.

 

kredit;SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *