Shopee Piala FA: Sathianathan Mungkin Akan Turunkan Ramai Pemain Simpanan

Walaupun FELDA United memiliki kelebihan 1 gol ke atas PKNP FC pada suku akhir pertama Piala FA, namun mereka bakal berdepan kesukaran di Jengka pada suku akhir kedua Jumaat ini berikutan kecederaan empat pemain utamanya.

Menurut laporan daripada Berita Harian, pengendali pasukan itu, B Sathianathan mengesahkan tonggak pertahanan import, Thiago Junior Aquino tidak dapat diturunkan.

Malah beliau juga mengharapkan kecederaan Gilberto Fortunato, Stuart Wark dan Wan Zack Haikal Wan Nor sempat pulih menjelang perlawanan penting di Stadium Tun Abdul Razak itu.

“Satu gol bukan bekalan selesa. Walaupun hanya memerlukan seri untuk layak ke separuh akhir namun kami tidak mahu mengambil risiko bermain secara negatif sebaliknya tetap memburu kemenangan.

“Tapi dengan kecederaan empat pemain utama, saya akui perlawanan ini terlalu mencabar terutama berdepan PKNP. Mereka memberi tentangan hebat kepada kami pada suku akhir pertama di Batu Kawan walaupun bermain pada waktu petang.

“Saya mengkaji permainan mereka ketika menentang Perak baru-baru ini. Walaupun tewas 1-2 namun kualiti PKNP lebih terserlah bila mereka bermain pada waktu malam.

“Jadi, saya boleh jangka apa yang akan dihadapi kali ini. Saya juga tidak mudah lupa mereka pernah mengalahkan kami di Jengka pada suku akhir Piala Malaysia musim lalu,” kata Sathia.

Kesebelasan utama pasukan Felda United. FOTO: Felda United

Situasi kecederaan tonggak utama itu sedikit sebanyak meresahkan jurulatih itu dan pada masa yang sama, beliau mencabar pemain simpanan agar segera menunjukkan kemampuan mereka dalam perlawanan ini.

“Jika selama ini ada yang merungut kerana hanya diletakkan di bangku simpanan, kini saya cabar mereka membuktikan kemampuan kepada saya,” katanya.

 

kredit:semuanyabola

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *