Sorok dadah bernilai RM41,000 bawah lantai

TUMPAT – Dua beradik bersama seorang rakan ditahan kerana memiliki dadah bernilai RM41,082.50 dalam serbuan di sebuah rumah di Wakaf Bharu semalam.

Lelaki berumur 30 dan adik lelakinya berumur 26 tahun ditahan di dalam rumah itu bersama kawan lelakinya berusia 27 tahun dalam serbuan jam 2.15 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, dadah itu ditemui disembunyikan di bawah lantai papan  bilik tidur tingkat atas dan di garaj kereta.

“Ketika serbuan, adiknya urin negatif berada di ruang tamu manakala rakannya (urin negatif) tidur di ruang tamu.

“Kemudiannya pihak polis bersama adiknya naik ke tingkat atas, abangnya berada di dalam bilik tidur tingkat atas.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik tidur itu menemui dua biji pil kuda dan satu gram dadah jenis syabu di dalam satu plastik lutsinar disembunyikan di bawah lantai tersebut,” katanya.

Menurutnya, penemuan itu membongkar lagi tempat dadah disorok apabila pemeriksaan di garaj kereta menemui dadah jenis syabu seberat 42.75 gram dan 19 botol dadah jenis heroin di rak kayu di garaj hadapan rumahnya.

Katanya, keseluruhan rampasan dadah bernilai RM41,082.50 dan hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 30 tahun positif dadah pernah di  penjara di Thailand selama tiga tahun bersabit kes dadah dan baru dibebaskan bulan Julai tahun lepas.

“Lelaki ini aktif mengedar di sekitar Wakaf Bharu, Tumpat dan Thailand, bekalan dadah diambil di Thailand.

“Turut disita wang tunai sebanyak RM730 dipercayai hasil jualan dadah.

” Dua beradik ini juga mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek direman seminggu bermula 16 Disember.

 

 

kREDIT:sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *