Suami isteri pekak, bisu berdikari tanggung 3 anak

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri kurang upaya (OKU) nekad berdikari untuk menanggung kehidupan mereka bersama tiga cahaya mata walaupun hidup dalam serba kekurangan.

Melayari hidup berumahtangga selama tujuh tahun, Mohd Syukri Abdul Kadir, 38, dan Zanainah Muhammad, 40, kedua-duanya cacat pendengaran dan bisu, tidak pernah meminta-minta walaupun ada masanya berdepan masalah kewangan.

Bersama tiga anak termasuk sepasang kembar berusia sebulan dan anak sulung berusia enam tahun, keluarga itu bernasib baik kerana dapat berlindung di rumah pusaka bersama kakak Zanainah, Zabariah, 42.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Hor di sini, Zanainah yang cacat sejak lahir sedang menidurkan anak kembarnya, Izul Farhan dan Izati Alwani.

Kehidupan mereka sama seperti orang normal, malah kemahiran menjahit yang dimiliki Zunainah, digunakan untuk menjana pendapatan.

Zabariah berkata, walaupun adiknya dan suami mempunyai kekurangan, ia tidak dijadikan alasan untuk mereka meminta-minta walaupun ada masanya berdepan masalah kewangan.

“Lebih-lebih lagi apabila mereka mempunyai anak kembar. Sudah pasti perbelanjaan diperlukan agak tinggi malah mencecah RM1,000 sebulan untuk membeli susu dan lampin pakai buang.

“Sebenarnya, anak sulung mereka yang usia enam tahun juga kembar lain jantina, iaitu Amir Farhan dan Farah Alwani. Namun, Farah Awani diserahkan kepada kakak ipar kerana pada masa itu mereka susah dan hanya mampu jaga Amir Farhan,” katanya.

Mohd Syukri bekerja di kedai bunga di Pasir Hor dengan upah sekitar RM800 sebulan.

Beban suami isteri itu diringankan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masing-masing sebanyak RM300 seorang kerana memiliki kad OKU.

Keluarga itu menerima kunjungan Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh Wan Azizi Wan Ab Ghani yang menyampaikan sumbangan makanan.

 

 

kredit:beritaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *