Syamim tak menyesal

KUALA LUMPUR: Sekali pun FELDA United FC ‘turun pangkat’ ke Liga Perdana musim depan, pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya langsung tidak pernah menyesali keputusannya untuk berhijrah dari Pahang.

Sebaliknya Syamim berkata pengalamannya bersama FELDA sebelum ini mematangkan dirinya untuk tampil positif dan cuba menghadiahkan keputusan baik sekali gus cuba mengembalikan pasukan ke saingan Liga Super musim 2019.

“Tahun pertama saya bersama FELDA United adalah ketika kami beraksi di Liga Perdana dan untuk kali ini, sudah pasti saya tidak rasakan ia satu ‘masalah’ buat saya. Jadi saya akan cuba mengembalikan FELDA United ke Liga Super.

“Liga Perdana juga menjanjikan aksi kompetitif. Begitu juga dengan pemain lain, walaupun mereka tahu akan beraksi di Liga Perdana, mereka kekal dengan sikap profesional dan mahu membantu pasukan.

“Pengurusan cukup memahami pemain. Mereka ada beritahu pemain yang kami perlu tunjukkan yang kami sepatutnya layak ke Liga Super,” katanya yang menyertai Pahang musim lalu.

Sebelum ini, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengambil keputusan menurunkan skuad The Fighters ke Liga Perdana selepas gagal melengkapkan dokumen pelesenan kelab.

Malah Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK2017), B Sathianathan turut memasang impian meneruskan ‘sentuhan emasnya’ dengan membawa FELDA United kembali menyertai saingan Liga Super pada musim 2019.

Mengulas lanjut, Syamim akui tidak kekok untuk kembali bersama FELDA United namun harus cepat menyesuaikan diri dengan pemain baharu termasuk kerjasamanya dengan Sathianathan.

“Ini adalah kali pertama saya berlatih dibawah Sathianathan tetapi saya tahu dan faham cara kerja beliau. Apa pun, tidak ada beza yang ketara sebab saya sudah biasa dengan keadaan sekeliling dalam pasukan ini.

“Pemain ‘lama’ pun masih ada. Cuma sekarang saya perlu sesuaikan diri dengan pemain, kakitangan pasukan dan juga jurulatih baharu,” katanya.

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *