Tak jamin diri ‘sifar’ kontroversi

KUALA LUMPUR: Empat tahun mencuba nasib dalam dunia seni, aktres jelita, Nadia Brian mengaku dirinya tidak segah mana.

Nadia mengaku jarang dihimpit kontroversi mungkin menjadi punca dirinya kurang dikenali, tidak seperti segelintir artis yang ‘mencipta’ nama melalui kisah sensasi biarpun bakat belum teruji.

Namun, gadis berdarah kacukan Melayu-Australia ini tetap reda. Apa yang penting baginya, tawaran berlakon tidak putus-putus diterima.

“Mungkin tiada kontroversi yang ‘memanaskan’ nama. Saya sedar ada artis melihat kontroversi sebagai peluang melonjakkan nama hingga jumlah pengikut laman sosial bertambah.

“Tapi saya seboleh-bolehnya cuba mengelak… Saya hanya mahu jadi diri sendiri. Saya ikut landasan yang betul dan bangga jika ada yang menjadi pengikut saya selepas melihat mutu lakonan.

“Namun, tidaklah bermaksud saya skeptikal terhadap kontroversi… Perkara itu ada baik dan buruknya,” katanya kepada BH Online.

Nadia menambah, bagi dirinya, artis tidak perlu terlalu mengejar kontroversi hingga lupa niat sebenar terjun dalam dunia seni.

“Namun, hakikatnya, saya tidak boleh ramal apakah perjalanan seni ini akan lancar tanpa kontroversi pada masa depan,” katanya.

Melangkah ke tahun baharu, Nadia membintangi drama Zam dan Shah bagi slot Iris di TV3.

“Drama Zam dan Shah ada dua hero selain menampilkan pelakon cameo hebat antaranya seperti Vanidah Imran dan Rozita Che Wan.

“Selesai penggambaran drama itu, saya memasuki set baharu iaitu drama untuk slot Zehra, Teratai Kemboja arahan Along Kamarudin. Drama ini ditunjangi Elly Mazlein dan Datuk Adi Putra.

“Alhamdulillah, rezeki berlakon tak putus. Insya-Allah kalau tiada aral melintang, saya akan berlakon filem di bawah arahan Ahmad Idham, tidak lama lagi,” katanya.

Nadia memberitahu, dia juga akan terbabit dengan projek teater bangsawan membabitkan kerjasama dengan seorang teman di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Perdana, Shah Alam.

 

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *