Takungan di Empangan Pedu terkawal

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengesahkan status Empangan Pedu di negeri ini terkawal, dengan takungan semasa 2.05 meter (m) menghampiri paras penuh.

Perkara itu dimaklumkan Cawangan Komunikasi Korporat MADA melalui satu kenyataan hari ini, susulan maklumat tersebar melalui laman media sosial mengenai paras takungan di Empangan Pedu yang dikatakan melepasi tahap amaran.

Berdasarkan kenyataan itu, MADA mengesahkan sehingga jam 11 pagi hari ini, takungan semasa di Empangan Pedu berada pada paras 95.48 meter (m) atau 88.58 peratus paras takungan.

“Paras penuh Empangan Pedu adalah 97.54m, dengan ini kedudukan takungan aras air di empangan itu dalam keadaan 2.05m menghampiri ketinggian air sebelum mencapai paras melimpah.

“Ini menunjukkan kedudukan takungan air Empangan Pedu masih terkawal dan berada di dalam keadaan selesa untuk mencapai tahap 100 peratus takungan penuh,” katanya.

Empangan Pedu dengan rekod takungan air semasa 956.111 juta meter padu adalah antara tiga empangan dikawal selia MADA di Kedah, selain Empangan Muda dan Empangan Ahning.

 

kredit:beritaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *