TCFC, Hanelang sasar Liga Perdana 2019

PENAJA utama dua pasukan kelab dari Terengganu yang beraksi dalam Liga FAM, Tulangis Group melahirkan keyakinan skuad  Terengganu City FC (TCFC) dan Hanelang FC mampu melangkah ke Liga Perdana pada musim 2019.

Pengerusinya, Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim menyifatkan sasaran itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan berdasarkan prestasi cemerlang kedua-dua pasukan dalam mengharungi cabaran Liga FAM musim ini.

Menurutnya, selain prestasi, gandingan pemain sedia ada dan kehadiran beberapa  bintang senior kelahiran negeri ini bakal memperkuatkan kedua-dua pasukan khususnya TCFC dalam menyahut cabaran lebih getir musim depan.

“Melihat kepada gandingan pemain muda dan berpengalaman seperti  Haris Safwan Kamal, Hasmizan Kamarodin dan Resafiq Alwi yang bakal menambah sengat pasukan TCFC musim depan, jadi kita yakin dengan sasaran layak ke Liga Perdana bagi musim 2019.

“Malah kehadiran ketua jurulatih berpengalaman, Ahmad Yusof bagi mengemudi pasukan Hanelang FC juga diharapkan dapat memberi satu anjakan baharu buat skuad yang berpengkalan di Hulu Terengganu itu untuk tampil dengan aksi lebih bertenaga musim depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Kontrak Pemain TCFC dan Hanelang FC di Sumai Hotel & Apartment di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Hazarul Ifdaz berkata, keputusan untuk menaja kedua-dua pasukan itu dibuat adalah bertujuan untuk memperkembangkan lagi bakat sukan bola sepak yang dimiliki pemain muda ke peringkat lebih tinggi khususnya bagi pemain kelahiran negeri ini.

Katanya, usaha itu juga turut mendapat persetujuan daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Menteri Besar dengan melibatkan penyertaan pihak swasta dalam menyemarakkan lagi pembangunan sukan bola sepak  di Terengganu.

 

kredit:SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *