Tiga beranak tinggal di rumah usang

RANTAU PANJANG: Sepasang suami isteri bersama seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU) terpaksa berteduh di rumah usang dengan sebahagian besarnya sudah roboh, di Kampung Gertak Tiga, di sini.

 

 

Rumah pusaka yang berusia lebih 70 tahun itu begitu daif dengan bumbung tercabut, selain lantai dan dinding roboh akibat banjir awal tahun ini.

Othman Mohamed, 73, dan isteri, Rahimah Daud, 68 hidup dalam kebimbangan memikirkan keadaan kediaman mereka dan lebih menyulitkan anak bongsunya, Anita Othman, 25, yang OKU.

 

 

Setiap malam, keluarga berkenaan tidur berbumbungkan langit dan ada kalanya mereka tidak mampu tidur malam kerana berjaga bimbang rumah itu roboh.

Othman ketika ditemui buntu mengenangkan nasib mereka sekeluarga dengan keadaan kediaman yang sudah 80 peratus roboh.

“Saya tidak tahu sampai bila kediaman kami mampu bertahan dan ke mana mahu dituju memandangkan saya dan isteri tiada pendapatan manakala anak bongsu pula tidak mampu berjalan.

 

“Kehidupan kami sekeluarga hanya dibantu anak perempuan, Juwanaliza, 42, yang masih belum berkahwin. Kami tidak mempunyai wang untuk membaik pulih kediaman ini,” katanya yang mempunyai lapan anak dan tiga cucu.

 

 

Beliau berkata, walaupun setiap bulan anak bongsunya menerima bantuan RM120, namun ia tidak mencukupi kerana kos lampin pakai buangnya sahaja mencecah RM150 sebulan.

“Setiap kali hujan, kami berteduh di bahagian kecil yang masih berbumbung, namun masih basah kerana terkena tempias.

“Saya berharap ada pihak tampil membantu untuk membaik pulih rumah pusaka ini kerana kami tiada tempat lain untuk berteduh.

“Rumah ini hanya menunggu masa untuk roboh sepenuhnya, namun saya tidak putus berdoa semoga ada insan membantu meringankan kesusahan kami,” katanya.

 

 

 

kredit:beritaharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *