Tumpah Darah Ulu Legong

Pada pagi 29/10/81, pasukan 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) anak muda itu bersiap-siap untuk menjalankan tugas rutin mereka. Sudah sebulan lebih mereka berada di kem hadapan Ulu Legong itu. 2 hari lagi mereka akan dibenarkan balik ke kem mereka di Sg. Petani, Kedah. Masing-masing akan dibenarkan bercuti menjenguk keluarga. Rasa keterujaan menyelubungi kem ketika itu. Yalah, 2 hari lagi nak balik, setelah sekian lama duduk di hutan Baling ini. Masing-masing merencana apa yang bakal dibuat nanti. Ia bukan bererti mereka culas dan lupa tentang tanggungjawab mereka.

Ancaman komunis tidak pernah surut. Tetapi, selepas ini, pasukan lain pula akan mengambil-alih tanggungjawab mereka di sini. Mereka pula akan keluar sebentar, menyelaraskan kembali kewarasan, sebelum kembali ke sini apabila tiba giliran mereka semula nanti. Pegawai Pemerintah (OC) mereka juga bersiap. Tugasnya nanti, untuk keluar bersama-sama anak-anak buahnya ke pekan Kg. Arang, Sg. Petani, bagi tujuan beklan semula (resup). walaupun mereka sudahhampir tamat giliran, resup tetap harus dilakukan. Namun, di saat-saat akhir, beliau terpaksa membatalkan hasratnya. Ada urusan penting tentang penampakan musuh yang memerlukan perhatiannya. Lalu, tugas menjadi kepala kumpulan itu diserahkannya kepada LKpl. Hashim.

Kalau diikuntukan, incas (ketua kumpulan) harus berada di bahagian hadapan kenderaan – di sebelah pemandu. Pemandu pada hari itu adalah Pbt Jamil b Abd Hamid (Jamil Wa). dalam LKpl. Hashim hampr menaiki kenderaan, tiba-tiba, rakan baik Jamil Wa – Pbt Jamil b Mahmud (Jamil Senyum), datang menghampiri. Tersegih-sengih dia meminta kebenaran untuk duduk di bahagian depan, sebelah rakan baiknya. Walaupun ia tidak dibenarkan, tetapi memikirkan tinggi harapan anak buahnya, LKpl. Hashim memberi kebenaran, dengan syarat, waktu pulang nanti, Jamil Senyum mesti duduk di belakang pula.

Maka, pada pagi itu, sekitar jam 0900, trak Volvo 3/4 tan itu bergerak tersengguk-sengguk di atas jalan tanah merah yang menghubungkan Kg. Air panas, Ulu Legong itu dengan Pekan Baling. Siapa sangka, jam 0945 – ketika berada pada jarak tak sampai 1 kilometer daripada kem hadapan mereka, berlaku letupan. Trak itu terbabas ke tepi, sebelum disusuli tembakan pelancar roket pula. Pada masa yang sama, kem hadapan juga menerima tembakan daripada segenap arah.

Di bawah hujan peluru, 2 anggota yang berada di dalam kenderaan 3/4 tan itu sempat meloloskan diri. Md. Said terjun daripada tebing, bergolek ke bahagian bawahnya dan bersembunyi. Dalam keadaan kecederaan parah dan darah membuak-buka, dia hanya mampu berdoa agar kawan-kawan yang lain juga terselamat. Shafie juga berada tidak jauh daripadanya, tanpa disedarinya. Belakang Shafie terbakar akibat tembakan pelancar grenad. Kedengaran dentuman daripada segenap arah. Pasukan daripada kem hadapan tidak dapat datang membantu kerana berada dalam keadaan terkepung.

Hanya lebih kurang 15 minit berlalu, namun Md. Said merasakan ianya seakan berjam-jam lamanya. Sehabis bunyi tembakan, kedengaran gerombolan komunis turun daripada tebing tinggi dari mana mereka melancarkan serangan. Dia mendengar seseorang merintih..” Mak..mak..”. Dia yakin itu suara Jamil Senyum. Namun, beberapa saat kemudian, kedengaran tembakan daripada jarak dekat, dan suara itu senyap terus hatinya luluh memikirkan kemungkinan yang berlaku.

Sebaik senyap tembakan daripada arah trak, tembakan ke arah kem turut terhenti. Lt. M. Radzuan segera mengulang berita melalui radio kepada Pegawai Memerintah (CO) mereka yang berada di Gubir. Lt. Kol. Hamzah tidak membuang masa, segera bergerak ke arah kem hadapan itu. Jiwanya resah memikirkan kemungkinan yang telah berlaku ke atas pasukannya. Radzuan sementara itu, segera mengatur langkah untuk memeriksa keadaan trak yang telah diserang itu. Pemandangan yang menyambutnya membuatkan jiwanya luluh.

Jamil Senyum – mati dalam keadaan terngadah mengadap langit di tepi tebing. Dadanya bersarang dengan peluru.

Jamil Wa – terkorban dalam keadaan terbaring di sisi, di sebelah tayar kenderaan. Kelihatannya dia telah ditarik turun daripada kedudukan pemandu.

Khambali, Md. Mendeka, Mazlim dan Rosli – bertindan di dalan trak.

Shafie dan Md. Adam walau bagaimanapun, tidak ditemui. Setelah dicari, ternyata keduanya telah tercedera – Md. Adam begitu teruk keadaannya. Kedua-duanya hanya mampu menangis plu melihat mayat rakan-rakan mereka yang bersarang dengan peluru. Keduanya dihantar ke sekolah yang berada tidak jauh daripada tempat itu untuk diangkut keluar. Sementara itu, mayat rakan-rakan mereka dikumpulkan, dan kesayuan melanda anggota-anggota lain apabila setiap kali diangkat, kedengaran bunyi tulang-tulang mereka yang telah gugur itu berkerutup.

Setiap mayat dihujani tidak kurang 30 butir peluru – berasal daripada senjata mereka sendiri yang telah diambil oleh musuh. Setelah kesemua jenazah dihantar ke Kem Sg. Petani, 3 anggota telah lari daripada tugas kerana tidak sanggup mencabut kesemua peluru-peluru yang bersarang di dalam tubuh jenazah. Ianya terlalu ngeri buat mereka. Parit surau pada hari itu ibarat sirap – berterusan dirona wana merah darah mereka yang telah gugur.

Berang dengan keadaan yang telah berlaku, pasukan telah melancarkan operasi susulan. Pada hari keempat kejadian iaitu pada 2/11/81, seorang anggota telah terkena jerangkap samar dan mengakibatkan beliau putus kaki kiri sehingga ke paras lutut.

CO 22 RAMD ketika kejadian

Lt. Kol. Hamzah b Othman

OC B Kompeni ketika kejadian

Lt. M. Radzuan b Abu Bakar

Anggota terkorban

Lkpl Hashim b Sulaiman
Pbt Rosli b Mat Nayan
Pbt Jamil b Mahmud
Pbt Jamil b Abd Hamid
Pbt Md Mendeka b Ismail
Pbt Mazlim b Wasal
Pbt Mohd Khambali b Mohd Sodeli
Anggota cedera

Pbt. Md. Said b Adam
Pbt. Md. Shafei b Kasim
Anggota cedera dlm operasi susulan

Pbt. Shahadan b Omar

Kecederaan yang dialami Md. Said dibawanya sehingga ke hari ini.

Kejadian itu sudah 36 tahun berlalu, namun parutnya kekal sehingga kini. Kejadian itu telah dikaji semula, dan saya sendiri telah terlibat di dalam projek tersebut. Hasil kajian tersebut telah dizahirkan melalui buku “ Tumpah Darah Ulu Legong” yang telah dilancarkan dengan rasminya oleh Dato’ Seri Abd. Azeez Rahim pada 2 Mei 2016.

Secara peribadi, rakaman insiden ini telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya, terutama apabila mengenangkan kepercayaanyang telah diberikan untuk saya membawa kisah ini kepada masyarakat. Alhamdulillah, setelah 35 tahun dan pelbagai janji yang ditabur, akhirnya insiden tersebut telah dibawa ke khalayak ramai – walaupun tak ramai yang ambil kisah. Jualan buku yang hanya dicetak sebanyak 500 unit itu, sehingga ke hari ini masih berbaki. Namun, sekurangnya, plak peringatan kejadian tersebut telah dinaikkan di Resort ir Panas Ulu Legong sebagai tanda kenangan peristiwa itu. Kesemua mereka yang telah gugur juga telah dijanjikan badal haji oleh Dato Seri azeez, sementara mereka yang tercedera pula telah dijanjikan untuk dihantar menunaikan haji.

Walaubagaimanapun, salah seorang daripada mereka yang terselamat – Encik Shafi’i bin Kassim – telah terkorban dalam satu kemalangan pada 25 November 2015 bersama-sama isteri dan anak perempuannya. Takdir telah menentukan, beliau terkorban dalam kemalangan kali ini, setelah kisahnya diketengahkan.

Sepanjang pembikinan novel tersebut, arwah banyak membantu dan sangat bekerjasama dalam penyiapan novel tersebut serta proses merealisasikan catatan kenangan insiden yang melibatkan rakan-rakan dan beliau sendiri. Semoga jasa arwah termaktub dalam lipatan kenangan kisah perajurit negara..dan semoga roh arwah dan rakan-rakannya ditempatkan bersama golongan beriman..al-fatihah..

kredit:the patriots

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *