(VIDEO)17,200 pil kuda, syabu dirampas

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah terbesar tahun ini apabila merampas 17,200 biji pil kuda dan syabu bernilai RM318,619 dalam serbuan di sebuah rumah dekat Padang Midin, Bukit Payung, Marang, Selasa lalu.

Dalam serbuan jam 6.30 petang itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 23 dan 26 tahun yang dipercayai menjadikan rumah disewa itu sebagai stor menyimpan dadah terbabit sebelum diedarkan.

Selain itu, pasukan serbuan yang terdiri daripada pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Marang itu turut menyita tiga kereta dan dua motosikal bernilai RM100,200.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, berkata bekalan dadah yang boleh merosakkan 17,000 masyarakat itu ditemui disimpan dalam bilik di rumah terbabit dan pihaknya percaya sebahagian daripadanya sudah pun dijual berikutan penemuan wang tunai berjumlah RM22,067.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati sindiket kecil-kecilan itu sudah bergiat aktif sejak enam bulan lalu di daerah Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

“Hasil serbuan di rumah terbabit, dadah itu ditemui disimpan dalam almari di sebuah bilik. Ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, polis polis menemui 17,200 pil berwarna merah dipercayai pil kuda yang diisi dalam plastik berwarna biru.

“Selain itu, polis juga menemui dadah dipercayai syabu seberat 606.19 gram bernilai RM60,619 mengikut harga pasaran. Berdasarkan siasatan, polis percaya bekalan dadah ini diperoleh dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kedua-dua yang bekerja sebagai peniaga ikan dan buruh terbabit dipercayai menjalankan kegiatan itu secara berdua namun polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan khidmat pengedar untuk dijual kepada penagih.

Aidi berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek terbabit didapati negatif namun peniaga ikan berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Justeru, kedua-dua suspek kini direman selama lima hari sehingga Rabu depan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah,” katanya.

 

 

 

 

kredit:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *