Yusri mahu kekal penolong jurulatih

KOTA BHARU 26 Feb. – Kejayaan pemangku jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah ‘membebaskan’ pasukan itu daripada belenggu kekalahan sememangnya mengembirakan penyokong sehingga timbul cadangan agar bekas pemain kebangsaan itu mengisi jawatan ketua jurulatih yang kini kosong.

Kelantan mencatatkan kemenangan pertama dalam kempen Liga Super musim ini selepas menumpaskan Perak 3-2 dalam perlawanan keempat mereka Sabtu lalu yang mana Yusri untuk pertama kalinya membim­bing TRW selaku pemangku jurulatih selepas Sathit Bensoh dipecat.

Namun begitu, Yusri ketika dihubungi Utusan Malaysia menolak cadangan itu kerana lebih selesa untuk terus memainkan peranannya sebagai penolong jurulatih.

Menurutnya, dia mahu menimba seberapa banyak pengalaman dalam bidang kejurulatihan sebelum menggalas tanggungjawab yang lebih besar untuk mengendalikan sebuah pasukan apatah lagi skuad TRW yang mempunyai sejarah ke­gemilangan yang hebat.

“Untuk menjadi jurulatih pasukan Liga Super saya perlu mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu kerana persaingan cukup besar dan mencabar.

“Saya akan terus menunggu jurulatih baharu yang bakal di­pilih oleh Kafa bagi mengemudi TRW untuk mengharungi baki saingan Liga M selepas ini,” katanya.

Yusri memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa pun yang akan dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebagai ketua jurulatih kelak.

Dia mengucapkan terima kasih kepada Kafa kerana memberikan kepercayaan penuh untuk melatih pasukan walaupun bersifat sementara.

“Ini adalah pelajaran terbaik dalam perjalanan saya membina kerjaya sebagai jurulatih,” ujarnya.

kredit:Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *